Sunday 19 October 2014

Ujian dari Allah


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Manusia tidak dapat lari dari ditimpa ujian Allah. Ujian adalah sebahagian dari hidup kita. Dalam kita sedang asyik dibuai mimpi dalam lena yang panjang, kita akan dikejutkan dengan bala yang membuatkan kehidupan kita tunggang terbalik. Ujian Allah tu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Bukan sahaja dalam bentuk kesusahan tetapi juga kesenangan.Bagi si miskin, kepayahan mencari sesuap nasi itu satu ujian. Bagi si kaya, bagaimana hendak dibelanjakan harta itu juga ujian.

”Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan.”[Al-Anbiyaa’: 35]

Dalam kita hendak mengejar sesuatu, pasti ada cabarannya. Pasti ada dugaannya. Walau se'perfect' mana pun rancangan atau rangka kerja kita, pasti ada kekangan dalam perjalanan. Bagaimana kita hadapi ujian ini satu persoalan? Adakah kita akan semakin dekat kepada Allah atau semakin jauh dari-Nya?    

Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya.

Ujian diberikan Allah adalah untuk menguji tahap keimanan manusia. Bagaimana hendak kita mengaku beriman andai tidak diuji. Ujian mengukur samada keimanan seseorang itu kepada Allah adalah benar dan diikuti dengan segala tindakannya bukan sahaja dengan perakui dengan lidah. 

 

Apabila ditimpa ujian, bersabarlah. Jangan mengalah. Jangan sesekali mengeluh kerana mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa. Manusia yang hilang sabar akan hilang arah. Ingat, Allah tidak kejam untuk memberi ujian yang tidak mampu ditangani hambanya. Manusia itu sendiri perlu membawa diri dengan keimanan untuk mendepani ujian yang mendatang.



Tiada guna untuk meraung mahupun meradang. Masalah tidak akan selesai. Hati tidak akan tenang. Sabar itu sangat indah dan orang yang bersabar adalah orang yang beruntung. Adakalanya, ujian datang sebagai teguran buat diri kita mungkin kerana ada perkara yang tidak kena pada tempatnya yang telah kita lakukan. Muhasabah diri dan bersyukur atas “peringatan” yang diterima.

Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya." - (Hadis riwayat Muslim). 

Sedar tidak sedar, kita sentiasa ditimpa ujian. Ujian yang membuatkan kita kuat untuk teruskan kehidupan. Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan. Gunakan nikmat masa dan tenaga yang dikurniakan Allah untuk terus belajar menghadapi dugaan hidup dan berusaha mendapatkan keredaan-Nya. Jangan terlalu selesa dengan kehidupan yang ada sekarang kerana kita mungkin akan tersungkur dan tidak mampu berdiri kembali.





Wednesday 8 October 2014

Malam Tautan Hati

Salam!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
Wahhh,, lamanya tak menulis dekat blog ni. Dah bersawang, berdebu berkarat, semua ada. Okay sebenarnya banyak betul cerita menarik yang nak dikongsikan tapi masa selalu tak mengizinkan. Oleh sebab permintaan ramai dan memandangkan kami baru saja melalui satu program yang cukup menarik, elok benarlah kalau perjalanan program tu dikongsikan di sini. OK, apa tunggu lagi, ayuh kita melayari suatu pengembaraan yang takkan dapat dilupakan.

26 september 2014, Malam Tautan Hati, satu program diadakan bagi memupuk semangat integrasi antara kami budak dental dan turut menyambut kedatangan pelajar-pelajar dental yang baru ke family dental kami. Almaklumlah, mereka semua masih lagi belum mengenali selok-belok dunia dental ni, oleh itu sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai penerima ahli keluarga baru, menyediakan suasana yang dapat mengeratkan lagi hubungan anatara kami dan pelajar dental yang baru dan memperlihatkan yang dunia dental ni bukan sahaja hiruk pikuk stresnya belajar tapi kami juga ingin mencungkil bakat terpendam yang mungkin belum pernah mereka sendiri ketahui.

Melihat sendiri keadaan malam tu yang dewannya dipenuhi dengan semua pelajar dentistry dari 1st year hinggalah ke final year. Sungguh suasana tu bukannya dalam bayangan benak fikiran kami dan kami sangatlah bersyukur dek sambutan tersebut. Pengacara mulalah dengan menyambut kedatangan tetamu kehormat dan bermulalah dengan slot pertama pada malam itu. Perasmian majlis dan dengan tatapan video yang grafiknya sungguh tidak disangka-sangka hebatnya! Almaklumlah, kami budak dental bukan sahaja sibuk belajar tapi kami juga sebenarnya mempunyai bakat-bakat lain yang masih boleh lagi diasahkan. Poyo tak? :D

Malam diteruskan lagi dengan persembahan dari pelajar first year. Dikir barat dijadikan pembuka persembahan dan sesungguhnya ternyata bukan dikir barat sahaja yang dijadikan persembahan pada malam itu, kami dikejutkan dengan persembahan sketsa oleh mereka yang cukup memberangsangkan. Selang beberapa dialog, terdengar sahaja gelak ketawa para tamu dewan. Malam tersebut sungguh meriah dan cukup ceria. Dan ternyata, bukan sahaja sketsa yang dipertontonkan, selang setiap sketsa terselit juga persembahan silat dan juga tarian dari pelajar tahun satu. Berbakat sungguh mereka ni.

Berakhir sahaja persembahan tersebut, berakhir jugalah majlis pada malam itu. Sungguh meriah suasananya dan majlis tidak diakhirkan dengan begitu sahaja. Juadah makan turut disediakan dan pada waktulah kami dapat mengeratkan lagi hubungan kami dengan pelajar tahun pertama. Perkongsian pengalaman, gelak jenaka, cerita lawak dan kisah pahit telaah menjadi antara topik utama perbualan antara kami. Kami tangkap banyak gambar dan jangan risau, gambar tu akan kami kongsikan di sini. Harap anda semua sukalah post kali ni. Dan jangan risau, insyaAllah, dengan adanya kelapangan waktu dan ada juga cerita menarik yang kami boleh kongsikan, kami akan tuliskan di sini. 


Semoga berjumpa lagi! Assalamualaikum,

Sunday 5 October 2014

Pengorbanan

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillah ilham...

Apabila menyebut tentang Hari Raya Aidiladha ini, perkara yang segera mendandan benak fikiran kita adalah ibadah korban dengan menyembelih lembu, kambing dan mungkin unta. Kalau tidak pun ibadah haji yang dilakukan bagi yang mampu di Makkah. 



Masihkah kita ingat akan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s ? Kisah dimana Allah s.w.t memerintah Nabi Ibrahim a.s untuk menyembelih puteranya Ismail.

Maka ketika anak itu sampai(pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata:” Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu” Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, InsyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar”. [As-saffat: 102]  

Kisah Nabi Ibrahim a.s sekeluarga ini merupakan gambaran simbol kasih sayang yang kukuh antara seorang Nabi kepada Tuhannya, seorang ayah kepada anaknya, seorang suami kepada isterinya dan juga seorang ibu kepada anaknya. Si ayah yang hendak menyembelih anaknya, si anak yang sanggup disembelih dan si ibu juga merelakannya.

Itu kisah zaman Nabi Ibrahim a.s. Zaman sekarang? Berapa ramai yang sanggup berkorban dijalan Allah? Dalam usaha untuk menegakkan agama Allah, banyak halangan dan ujian yang perlu ditempuh dan pengorbanan diperlukan bagi mencapai matlamat yang diingini.  



Pengorbanan memerlukan cinta. Cinta sejati yang memandu manusia untuk melakukan apa sahaja. Pengorbanan sama juga halnya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang kita impikan. Berkorban demi cinta. Berkorban demi kebahagian keluarga. Berkorban demi mempertahankan sebuah persahabatan. Berkorban masa dan harta serta macam-macam lagi. Tapi pengorbanan bukan hanya manis dibibir sahaja. “You jump, I jump”.Nilai pengorbanan sebenar mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah. Hanya Allah yang layak berada di carta tertinggi dalam hati kita.

Langit Ilahi
 
Syurga itu nilainya terlalu tinggi dan bagi kita yang ingin mengecapinya perlukan bayar dengan harga yang tinggi. Segala bentuk pengorbanan dari segi harta, tenaga, masa mahupun nyawa yang merupakan pinjaman dari Allah adalah jalan menuju taqwa dan merupakan kunci memasuki syurga. Kesungguhan dan keikhlasan dalam sebuah perjuangan yang disandarkan kepada Allah akan terbalas dengan nikmat yang teragung dari-Nya. Semoga kita mendapat ibrah di Aidiladha ini dan berkorbanlah kerana Allah.