Sunday 7 September 2014

Selamat Datang & Selamat Kembali




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


            Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur kehadrat ilahi atas limpah kurnianya dapat kita menyambung dan memulakan pengajian bagi sesi 2014/2015.  Saya mewakili Persatuan Pelajar Islam Pergigian Universiti Malaya mengucapkan Selamat Datang dan Selamat Kembali kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang bakal memulakan pengajian di Fakulti Pergigian Universiti Malaya bagi sesi kali ini.  Setelah hampir dua bulan lamanya kita bercuti, kini tibalah masanya untuk kita mengerah keringat dan meneruskan perjuangan dalam usaha untuk menimba ilmu, memantapkan lagi kemahiran dan seni pergigian yang perlu diterapkan dalam diri.


Seperti yang telah kita sedia maklum, bidang pergigian adalah antara bidang yang sangat kritikal dan mencabar. Semangat yang jitu dan keinginan yang kuat amatlah diperlukan apabila kita memasuki bidang ini. Jadi, janganlah ada di antara kita yang patah semangat untuk meneruskan usaha bagi menggenggam segulung ijazah dan bergelar seorang doktor pergigian kelak. Kenanglah jasa ibu dan ayah yang tidak kenal erti penat lelah membanting tulang mencari rezeki untuk menyara dan membesarkan kita. Balaslah jasa mereka dengan memberikan komitmen yang sepenuhnya kepada pelajaran dan taatilah perintah Allah SWT. 


Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menunjukkan sikap yang positif dan sentiasa berpandangan jauh. Kita mestilah mempunyai misi dan visi yang jelas dalam mengharungi jerih perit suka duka di Fakulti Pergigian Universiti Malaya yang tercinta ini. Letakkanlah Allah S.W.T. sebagai matlamat hidup kita. Jadikan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai contoh ikutan kita sepanjang zaman. Jagalah tatasusila kita sebagai seorang muslim dan tunjukkanlah sikap professionaliti kita kepada masyarakat. Jadilah contoh tauladan yang baik terutama kepada mereka yang lebih muda daripada kita. Seandainya kita mempunyai kesukaran dan ditimpa sebarang masalah, bergantunglah sepenuhnya kepada Allah S.W.T. kerana hanya kepada-Nyalah kita berserah dan Dialah yang menentukan segala-galanya.  


Sebelum mengundur diri, saya menyeru agar kita sama-sama dapat memperbaharui niat dan tujuan kita menjejakkan kaki di Universiti Malaya ini iaitu semuanya hanya semata-mata kerana Allah S.W.T dan janganlah sekali-kali kita lupa terhadap segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.

Akhir kata, majulah PPIPUM untuk agama, bangsa dan Negara yang tercinta.


“Dentist by Profession, Muslim by Career”



Ahmad Hazim Bin Nazri

Yang Dipertua,
Persatuan Pelajar Islam Pergigian Universiti Malaya 2014/2015

No comments:

Post a Comment