Sunday 14 September 2014

Mukmin Profesional


Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun masing-masing ada kebaikan. Semangatlah meraih apa yang manfaat untukmu dan mohonlah pertolongan kepada Allah, dan jangan bersikap lemah. Jika engkau tertimpa suatu musibah janganlah mengatakan, “Seandainya aku berbuat begini dan begitu, niscaya hasilnya akan lain.” Akan tetapi katakanlah, “Allah telah mentakdirkannya, dan apa yang Dia kehendaki Dia Perbuat.” Sebab, mengandai-andai itu membuka pintu syaitan.” (HR. Muslim)

Makna Mukmin Profesional itu diambil daripada perkataan Arab iaitu Al QAWIY dan AL AMIN di mana maksud al-amin (amanah) merujuk kepada Mukmin dan al-qawiy (kuat) merujuk kepada Profesional.

Kuat atau profesional dalam menjalankan tugas bermaksud seseorang yang mempunyai kemampuan (kompetensi) yang tinggi untuk melakukan sesuatu tanggungjawap atau peranan. Termasuk dalam istilah ini ialah ilmu, kemahiran, bakat yang ada pada seseorang untuk membolehkannya melakukan sesuatu pekerjaan dengan cekap dan berkesan. Kuat juga dimaksudkan sebagai kesihatan fizikal dan kecerdasan akal.

Manakala amanah pula merujuk kepada soal kelakuan atau soal kemukminan. Ini soal kualiti seseorang; iaitu hati yang sihat, hati yang positif dan hati yang murni.

Contoh teladan  Mukmin profesional yang perlu menjadi ikutan kita ialah Rasululullah SAW. Rasulullah telah berjaya dalam perbagai bidang semasa kehidupan Baginda antaranya Rasulullah berjaya dalam bidang perniagaan dan menjadi pendakwah yang hebat serta sebagai jeneral yang hebat dan kuat terlibat dalam peperangan. Faktor kejayaan baginda dalam bidang perniagaan dan ketenteraan ialah kelakuannya yang baik (Mukmin) dan kepakaran-nya yang tinggi (Profesional).


Mukmin Profesional perlu meletakkan dunia adalah tempat untuk bercucuk tanam dan akhirat ialah tempat untuk kita menuai hasilnya. Jika kita bijak dan pandai serta rajin bercucuk tanam maka hasil tuaian kita nanti insyaAllah tidak menghampakan, malah menjanjikan pulangan yang lumayan iaitu keredhaan Allah dan ganjaran Syurga. Perlu kita ingat bahawa dunia adalah alat yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk kita mencapai kehidupan yang abadi di akhirat kelak.

Pekerja yang sentiasa memberi khidmat dalam pekerjaannya tanpa mengira masa dan tenaga dan gembira melakukan kerja tersebut tanpa mengharapkan balasan adalah pekerja yang cemerlang. Bukankah memberi lebih baik daripada menerima, marilah kita sama-sama lebih banyak memberi daripada menerima. Fikirkan dan renungkan lah apa yang telah kita sumbangkan kepada organisasi kita bukan apa yang kita dapat daripada sesuatu organisasi. Percayalah kuasa memberi amat hebat kesannya, Allah melipatgandakan usaha memberi hambaNya sebanyak tujuh kali ganda banyaknya maka dapatlah dikatakan bahawa memberi membuatkan harta kita akan bertambah tidak kiralah apa yang kita beri samada tenaga, senyuman, pertolongan, doa dan pertolongan dalam bentuk harta sekalipun.

Untuk mengetahui apakah kita sudah layak menjadi Mukmin Profesional, soalan yang harus kita tanya pada diri kita sendiri adalah apakah kita seronok, berasa puas dan gembira apabila kita dapat peluang memberi apa sahaja bentuk kebaikan dalam apa keadaan sekalipun sebagai menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah S.W.T? Kalau kita sudah mendapatkan keseronokkan ketika memberi dan kita memberi kerana mencari redha Allah semata-mata, maka bersyukurlah kepada Allah dan semoga Allah kekalkan hidayah-Nya kepada kita sehingga ke akhir hayat.

Langkah menjadi Mukmin Professional

1- Menentukan arah hidup.
Hidayah adalah petunjuk daripada Allah SWT buat manusia dalam pengembaraannya yang panjang.

2- Menetapkan tujuan hidup.
Ibadah adalah misi hidup yang menjadi penjamin untuk mencapai ” Visi Hidup ” di dunia dan Akhirat ; tujuan dan keperluan; juga material dan kerohanian.

3- Mengikut jalan Islam.
Agama Islam adalah jalan yang lurus dan tulus menuju Allah SWT. Kebahagiaan bukan hanya di hujung jalan, tetapi di sepanjang jalan.

4- Menyediakan bekalan hidup.
Solat adalah silah- Hubungan yang menjadi energi, hati, emosi, akal dan fizikal dalam kehidupan.

5- Memiliki  pendorong hidup.
Zikrullah adalah syarat bahagia bila rasa kehambaan dan rasa bertuhan dapat dihayati semasa menimba hikmah tersirat disebalik ujian.

6- Mengatsi halangan hidup.
Dosa adalah belenggu penjerat jiwa yang menjanjikan resah dan lemah. Taubat adalah wadah kemerdekaan untuk menuju Allah SWT.

7- Menghadapi kesudahan hidup.
Mati bukanlah satu pengakhiran, tetapi satu permulaan kepada satu perjalanan yang tidak akan berakhir. Ia petanda awal sama ada akan bahagia atau derita, selamanya.


Rujukan:

http://ilhamkumotivasiku.blogspot.com/2011/12/mukmin-profesional-celik-mata-hati.html
 


Sunday 7 September 2014

Selamat Datang & Selamat Kembali




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


            Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur kehadrat ilahi atas limpah kurnianya dapat kita menyambung dan memulakan pengajian bagi sesi 2014/2015.  Saya mewakili Persatuan Pelajar Islam Pergigian Universiti Malaya mengucapkan Selamat Datang dan Selamat Kembali kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang bakal memulakan pengajian di Fakulti Pergigian Universiti Malaya bagi sesi kali ini.  Setelah hampir dua bulan lamanya kita bercuti, kini tibalah masanya untuk kita mengerah keringat dan meneruskan perjuangan dalam usaha untuk menimba ilmu, memantapkan lagi kemahiran dan seni pergigian yang perlu diterapkan dalam diri.


Seperti yang telah kita sedia maklum, bidang pergigian adalah antara bidang yang sangat kritikal dan mencabar. Semangat yang jitu dan keinginan yang kuat amatlah diperlukan apabila kita memasuki bidang ini. Jadi, janganlah ada di antara kita yang patah semangat untuk meneruskan usaha bagi menggenggam segulung ijazah dan bergelar seorang doktor pergigian kelak. Kenanglah jasa ibu dan ayah yang tidak kenal erti penat lelah membanting tulang mencari rezeki untuk menyara dan membesarkan kita. Balaslah jasa mereka dengan memberikan komitmen yang sepenuhnya kepada pelajaran dan taatilah perintah Allah SWT. 


Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menunjukkan sikap yang positif dan sentiasa berpandangan jauh. Kita mestilah mempunyai misi dan visi yang jelas dalam mengharungi jerih perit suka duka di Fakulti Pergigian Universiti Malaya yang tercinta ini. Letakkanlah Allah S.W.T. sebagai matlamat hidup kita. Jadikan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai contoh ikutan kita sepanjang zaman. Jagalah tatasusila kita sebagai seorang muslim dan tunjukkanlah sikap professionaliti kita kepada masyarakat. Jadilah contoh tauladan yang baik terutama kepada mereka yang lebih muda daripada kita. Seandainya kita mempunyai kesukaran dan ditimpa sebarang masalah, bergantunglah sepenuhnya kepada Allah S.W.T. kerana hanya kepada-Nyalah kita berserah dan Dialah yang menentukan segala-galanya.  


Sebelum mengundur diri, saya menyeru agar kita sama-sama dapat memperbaharui niat dan tujuan kita menjejakkan kaki di Universiti Malaya ini iaitu semuanya hanya semata-mata kerana Allah S.W.T dan janganlah sekali-kali kita lupa terhadap segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.

Akhir kata, majulah PPIPUM untuk agama, bangsa dan Negara yang tercinta.


“Dentist by Profession, Muslim by Career”



Ahmad Hazim Bin Nazri

Yang Dipertua,
Persatuan Pelajar Islam Pergigian Universiti Malaya 2014/2015