Sunday 25 December 2011

AL ISLAH : Muharram 1433

Saturday 24 December 2011

Kem Tautan Hati 2011 [Promo]

Assalamualaikum semua :)



Kem Tautan Hati kembali lagi!! 
Program ini merupakan aktiviti tahunan anjuran Persatuan Siswa/i Islam Perubatan Universiti Malaya (PSIPUM) yang bertempat di Photon Valley Resort, Hulu Langat selama 3hari 2 malam pada 30, 31 Disember 2011 & 1 Januari 2012

Dengan motto 'Bersama Mengenal Tuhan', program ini mensasarkan pelajar-pelajar Pergigian, Perubatan, Farmasi, Biomedik dan Radiologi

Ayuh bersama-sama mencari ilmu dan menjalinkan ukhwah dengan sahabat-sahabat seperjuangan dalam bidang kesihatan. Ketahuilah bahawa kita saling memerlukan ketika di alam pekerjaan nanti. Jadi, marilah kita mula membina ukhwah seawal di kampus lagi!

Bayaran penyertaan hanya RM10 sahaja termasuklah pengangkutan, makanan dan penginapan. Percutian yang murah dan Insya Allah bermanfaat. Jom kita 'Bersama-sama Mengenal Tuhan' !

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai kem ini, sila hubungi Fhatin Nadia Jasni Teoh (3rd year) 013 371 1996 dengan memberikan nama, nombor kad matrik dan nombor telefon anda sebelum hari Selasa (27 Dis)

Go Dental !!
Jom2..ajak kawan2! :D

Saturday 3 December 2011

Motivasi @ D.E.N.T.A.L

Menjejaki universiti pilihan, jangan menafikan perasaan yang tersirat dalam sanubari anda. Luahkan perasaan tersebut. Zahirkan. Tunjukkan. Buktikan. Bagaimana? Ikuti artikel ini sehingga ke penghujungnya. Saya akan membantu anda.

Setelah berperang di alam persekolahan, diikuti pula alam matrikulasi, anda telah berjaya sampai ke tahap ini. Tinggal beberapa tahap lagi anda bakal meninggalkan universiti ini beserta ijazah yang menjadi identiti anda. Kemana-mana sahaja anda berpijak di muka bumi ini, orang mengenali anda sebagai seorang doktor. Itulah yang anda idam-idamkan, bukan? Bergelar seorang doktor. Punyai pangkat doktor.

Justeru, bagaimana anda perlu menzahirkan dan menonjolkan bahawa anda berasa cukup bersyukur dengan rahmat yang Allah berikan ini? Bahawa anda sangat berbangga bergelar seorang pelajar ijazah sarjana muda pembedahan dan pergigian? Bahawa anda cukup gembira diterima menuntut di Universiti Malaya? Bahawa anda cukup bertuah dididik oleh para pensyarah yang tiada tanding ilmunya? Bagaimana?


Jawapannya ada dalam perkataan DENTAL itu sendiri. Mari kita selidiki satu persatu.

Duduk
Saya mahu anda duduk. Terpulang kepada anda samada anda mahu duduk di atas kerusi di depan meja belajar, atau di atas katil yakni meja belajar kedua anda, atau di atas lantai yakni meja belajar ketiga anda, hatta di atas tikar sejadah sekalipun. Duduklah. Duduk sebentar.

Saya tahu anda selama ini mungkin tidak pernah duduk. Anda terlalu sibuk mengharungi detik-detik terindah selaku pelajar pergigian. Anda sibuk dengan kuliah, tutorial, discussion, assignment, homework, PBL, SDL, pesakit, klinik, requirements, denture, lab work, dan sila sambung sendiri. Anda lebih maklum.

Duduk sebentar yang saya maksudkan adalah muhasabah. Atau dalam bahasa teknologi dipanggil PAUSE BUTTON. Bercakap dengan diri anda sendiri.

Siapa kata pergigian susah? Semua senior aku boleh lepas. Semua pun manusia biasa. Diorang lalui hari yang sama seperti yang aku lalui. Diorang dan aku tiada beza. Jika diorang boleh, aku pun tentu boleh.

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda dengan duduk sebentar. Yakinlah bahawa jika orang lain boleh mengapa anda tidak. cukuplah anda dimomokkan dengan kegagalan oleh sesetengah pensyarah yang tujuan mereka supaya anda bangkit bangun.

Sudah duduk sekejap? Sekarang, sila bangun dan buka buku.

Esok
Tolong jangan fikirkan tentang kegagalan anda di hari esok. Saya tahu sesuatu yang pasti bahawa anda sering menggambarkan anda bakal gagal dalam subjek-subjek tertentu dan bakal duduk di kerusi supplement. Atau kerusi repeat.

Saya masih teringat bagaimana adik-adik suka bertanya,

“Kak, bagaimana kalau saya kena repeat? Supplement?”

Soalan yang tiada jawapan. Kerana soalan itu tidak patut ditanya. Dan saya tahu ada sesetengah anda yang memang sengaja bertanya. Kerana bertanya itu kunci kejayaan orang yang bijaksana. Pertanyaan itu akan menjadi suatu motivasi untuk anda merancang kejayaan anda di hari esok.

Sebaliknya, fikirkan tentang kejayaan anda di hari esok. Fikirkan bahawa anda boleh memberi tumpuan yang baik pada hari esok. Fikirkan bahawa anda boleh menjawab soalan peperiksaan dengan baik pada hari esok. Fikirkan bahawa esok pesakit anda pasti datang untuk rawatan. Fikirkan bahawa esok anda boleh invest denture pesakit anda.

Ya, zahirkan rasa syukur anda dengan berfikir tentang kejayaan. Anda adalah apa yang anda fikirkan. Fikir beserta tindakan. Fikir-fikirkanlah. Dan?

Selamat bertindak!

Nasihat
Anda tidak boleh hidup seorang diri. Saya telah melihat sendiri bagaimana orang yang sangat berdikari dengan tidak mempedulikan orang lain mudah sekali untuk menempa kegagalan. Sila dapatkan nasihat orang yang berpengalaman. Tanya. Bertanya. Dan tanyalah.

Jadikan senior-senior anda sebagai batu loncatan untuk anda mengecap kejayaan. Jika malu anda tidak perlu pergi jauh. Buddy anda bersedia memberi bantuan. Tanya. Korek pengalaman mereka. Selidik bagaimana pelajar cemerlang mengisi masa-masa terluang. Belajar cara-cara menulis nota. Dapatkan segala nota-nota penting. Minta tips menjawab soalan peperiksaan. Semua ini hanya terdapat di kalangan orang yang telah melaluinya.

Terapi
Sehebat mana pun ada, tetapi jika anda terlupa untuk meluangkan masa 5 kali sehari (atau lebih) untuk menunaikan solat, anda adalah seorang yang sangat rugi walaupun anda adalah seorang pelajar pergigian dari sebuah universiti yang disegani.

Bertambah-tambahlah rugi jika anda sebenarnya tidaklah sehebat mana pun. Dalam kelas sering mengantuk. Buat apa pun orang tak suka. Muka asyik masam. Suka menyakitkan hati orang. Suka ambil kesempatan terhadap orang lain. Suka meniru hasil kerja orang lain. Malas membaca. Malas mengulangkaji pelajaran. Malas bertanya pensyarah. Alangkah ruginya.

Saya menganjurkan anda untuk terapi jiwa anda. Basuhlah dengan ayat-ayat suci al-quran. Sepertimana anda berkunjung ke salun kecantikan untuk terapi muka, kaki, tangan serta badan, begitu jugalah yang anda perlukan untuk jiwa anda.

Bersihkan dengan perkara-perkara yang membina iman. Solat. Puasa sunat. Bacaan al-Quran. Menghadiri majlis ilmu.

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda selaku seorang pelajar di universiti ini dengan mengabdikan seluruh kehidupan anda kepada pemilik kehidupan. DIA yang telah mengizinkan anda bertapak dalam bidang ini.

Arus
Tiada kejayaan yang boleh ditempa tanpa cabaran. Begitulah sebuah kehidupan bagaikan air laut ada masa surut dan ada masa pasang. Ada masa anda dihujani dengan pelbagai tekanan, ada masa pula sebaliknya. Itulah ombak yang sebenarnya membina kehidupan anda.

Jangan sedih jika anda tidak faham satu apa pun yang diajar oleh pensyarah. Jangan stress jika anda terasa seperti anda tidak tahu apa-apa pun. Jangan mengamuk jika gigi palsu yang anda buat dengan bersungguh-sungguh rupa-rupanya telah porous pada keesokan harinya.

Itulah arus yang akan memaksa anda untuk kembali ke pangkal jalan. Arus yang akan menolak anda untuk ke gigi air. Bangun daripada tidur. Tanyakan kenapa kepada diri. Kenapa tidak faham? Kenapa terasa seperti tidak tahu apa-apa pun? Kenapa gigi palsu ini porous?
Jawapannya ada pada diri anda.

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda dengan menolak arus yang mendatang dengan penuh berhemah.

Lekas
Pekerjaan yang paling menarik dan memuaskan adalah pekerjaan yang tidak bertangguh. Jangan bawa nota semalam untuk dikemaskini pada hari esok atau sehingga ke minggu seterusnya. Jangan mencari maklumat yang penting di hujung deadline.

Dapatkan koleksi soalan tahun lepas dengan segera. Bina kumpulan perbincangan dengan segera. Kemaskini nota kuliah dengan segera. Ulangkaji dengan segera. Bertanya dengan segera. Siapkan kes-kes penting dengan segera.

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda dengan segera. Berdoalah dengan segera.

Dan, berubahlah dengan segera. Semoga berjaya!
                                                                                                                                  
                                                                                                                                  Dr Yuliana Bt Ayob

AL ISLAH : Zulhijjah 1432

AL ISLAH : Zulkaedah 1432